Maktub Kelapan
Pada menerangkan Ahwalnya yang berkaitan dengan Baqa' dan Sahwu. Hadhrat Mujaddid قدس اللہ سرہ menuliskan surat ini kepada Syaikhnya yang mulia.
Permohonan dari hamba yang hina, Ahmad. Sesungguhnya tatkala daku dibawa kepada Sahwu dan dimuliakan dengan Baqa', daku dapati telah terzahir ilmu-ilmu pengetahuan yang jarang-jarang, Ma'arif yang tidak pernah diketahui orang dan dilimpahkan kepadaku kesemua itu secara berturut-turut dan berterusan. Kebanyakan daripada ilmu pengetahuan dan Ma'arif itu tidak sepakat dengan penerangan kebanyakan kaum sufi dan tidak juga sepakat dengan istilah yang biasa mereka gunakan.
Semua apa yang telah mereka jelaskan dan katakan tentang masalah Wahdatul Wujud, pada permulaannya daku telah mengalami Ahwal itu, tidak berapa lama daku mengalami Ahwal Shuhud Wahdat Fi Katsrah. Kemudian daku taraqqi naik daripada Maqam tersebut kepada Maqam yang ada di atasnya dengan darjat tingkatan yang tinggi dengan 'Inayat bantuan daripada Al Malikul 'Alam dan Dia telah melimpahkan padaku pada Maqam itu berbagai jenis ilmu pengetahuan. Tetapi tidak didapati Mishdaq [dalil bukti, dan Shahid kesaksian tentang kebenaran] Maqamat ini. Sedangkan Ma'arif dan Maqalat yang daku tuliskan kepada Tuan Syaikh memiliki Mishdaq.
Sesetengah Akabir memberi isyarat dan rumuz petunjuk secara ijmali melalui kalam mereka tentang Wahdatul Wujud, akan tetapi untuk mengesahkannya perlulah kepada Shahid yang adil, sepakat dengan Syariat yang Zahir dan Ijma' Ulama Ahli Sunnah, di mana ianya tidak bersalahan dengan Syariat Zahir yang telah ditetapkan dan juga tidak sama seperti mana perkataan-perkataan Ahli Falasifah dan Usul pendapat mereka. Bahkan tidak juga boleh sama dengan Usul kelompok Ulama islam yang bukan dari kalangan Ahli Sunnah.
Dan sungguh telah tersingkap bahawa kemampuan ada bersama dengan Fi'il perbuatan, dan bahawa tidak ada Qudrat sebelum adanya Fi'il perbuatan. Bahkan terhasil Qudrat itu beriringan dengan Fi'il.
Dan tugas yang diberikan untuk menjaga asbab dan anggota-anggota tubuh, seperti yang telah ulama Ahli Sunnah putuskan. Apa yang telah daku dapati adalah, Maqam ini berada di telapak kaki Khwajah Bahauddin An Naqshbandi قدس سره dan dia berada pada Maqam ini, Hadhrat Khwajah 'Alauddin Attar juga memiliki nasib untuk duduk pada Maqam ini dan begitu juga sebahagian daripada Akabir pembesar-pembesar dalam Silsilah Aliyyah ini seperti Hadhrat Khwajah Abdul Khaliq Al Ghajdawani قدس الله سره الأقداس dan sebahagian daripada Para Masyaikh terdahulu juga sama seperti Syaikh Ma'ruf Al Karkhi, Syaikh Daud At Tho'i, Syaikh Hasan Al Basri, dan Syaikh Habib Al 'Ajami قدس الله أسرارهم المقدسة.
Hasil daripada Ahwal Wahdatul Wujud, semua benda adalah Kamal kesempurnaan yang terlalu tinggi dan satu-satunya Kesempurnaan. Dan sungguh mereka telah meninggalkan urusan ini dengan begitu cepat, sedangkan Hujub hijab-hijab yang menutup itu tidak kekal kerana boleh diangkat hijab-hijab itu dengan berbagai cara dan kesungguhan yang kuat. Jadi sekarang, urusan yang besar [Wahdatul Wujud] inilah hijab untuknya.
“Tidak ada tabib buat mereka itu, dan tidak juga ada penyembuh”
Seolah-olah mereka yang mengalami Ahwal itu telah menamakan Kesempurnaan yang tunggal dan tiada yang layak untuk bersamanya itu pada segala yang bersambung dan yang terpisah. Mustahil, ini semua tidak mungkin !! Bait ini sesuai untuk Ahwal ini.
“Berhati-hatilah wahai temanku, terhadap orang yang mendakwa telah sampai, ke tempat lubuk ikan-ikan yang berbahaya.”
Dimana Shuhud, siapakah Shahid dan apakah yang Masyhud disaksikan.
Apabila dilihat kepada makhluk maka dapat dilihat Nur Jamal-Nya.
Tiadalah bagi debu tanah ini Nur, tapi Nur itu pada Tuhan bagi segala tuhan-tuhan yang diciptakan manusia. !
Sepatutnya seseorang hamba hendaklah mengetahui bahawa dirinya itu ialah makhuk yang tidak berkuasa, begitu juga hendaklah dia beriktiqad sekalian 'alam ini juga makhluk. Hendaklah dia akur bahawa Al Khaliq dan Al Qadir itu adalah Al Haq عز وجل. Selain daripada ini, jangan tsabitkan Nisbat perkaitan sekali-kali. Mana satu 'Ain dan mana satu cermin?.
“Dimanakah cermin-cermin itu berada ketika adanya gambaran?.”
Ulama zahir daripada Ahli Sunnah Wal Jama'ah, walaupun mereka lemah dalam sesetengah 'amal-amal. Tetapi zahir pada Nazhar mereka bahawa Jamal keindahan pada Aqaid aqidah-aqidah mereka itu terdapat Nuranniyat cahaya, apa yang membuat cahaya itu pudar adalah kecuaian mereka sendiri.
Cahaya itu tidak didapati pada sesetengah Mutasawwif orang yang berpura-pura sufi. Kerana ketiadaan Kamal sempurna pada Aqaid mereka terhadap Zat dan Sifat walaupun mereka melakukan Riyadhat dan Mujahadah.
Sungguh telah terhasillah padaku Mahabbat yang tinggi pada diri Ulama dan penuntut-penuntut, disebabkan mereka diriku menjadi baik dan daku bercita-cita untuk menjadi sebahagian dalam kelompok mereka. Daku pun bermuzakarah bersama pelajar-pelajar tentang “التوضيح والتلويح”daripada kitab Muqaddimat Al Arba' dan juga kami semua bersama-sama membahas dan membaca kitab Fiqh “الهداية”.
Daku juga duduk bersama ulama pada membincangkan tentang Ihathah dan Ma'iyyat dua alam.
Disebabkan itulah daku telah ketahui bahawa Al Haq سبحانه وتعالى bukanlah 'Ain bagi 'alam ini. Tidak juga Muttashil bersambung dan tidak juga Munfashil terpisah daripadanya, tidak juga berserta 'alam, tidak juga bercerai daripadanya, tidak Muhith meliputi, tidak juga bercampuk aduk dengannya. Ketahuilah bahawa segala zat-zat dan sifat-sifat kesemuanya itu makhluk Allah تعالى, tidak juga sifat-sifat makhluk itu adalah Sifat-Sifat bagi Allah تعالى, dan af'alnya makhluk ini bukanlah Af'al Allah سبحانه. Bahkan daku telah ketahui bahawa yang memberi kesan pada segala af'al adalah Qudratnya تعالى, qudrat makhluk itu tidak dapat memberi kesan sepertimana yang ada dalam Mazhab Ulama Mutakallimin.
Seperti itu juga, daku telah ketahui bahawa Sifat-Sifat yang tujuh[Ma'ani] itu maujud ada dan daku telah tahu juga bahawa Al Haq سبحانه itu Muridun hal keadaan Dia yang berkehendak. Daku telah mentashwirkan Qudrat Allah itu dengan makna Dia mampu membuat sesuatu dan boleh meninggalkan membuat sesuatu dengan yakin pasti, bukan dengan makna jika Dia Mahu dia buat, dan jika Dia Tidak Mahu dia tidak buat. Daku tidak katakan bahawa Syarat yang kedua itu tidak boleh diterima, sepertimana Para Hukama telah mengatakan tentangnya yakni Falasifah yang bodoh dan sebahagian Sufiyyah, kerana pendapat ini membawa kepada Ijab (lawan sifat Salbiah) dan menyetujui usul Hukama' tadi. Daku beriktiqad tentang masalah Qadha dan Qadar sebagaimana pendapat ulama. Kerana sesungguhnya Al Malik boleh melakukan apa saja yang dia mahu dalam Mulki kerajaan-Nya. Daku tidak melihat masuknya perbicaraan Qabiliyyat dan Isti'dad pada mulanya. Kerana itu juga membawa kepada Ijab (lawan sifat Salbiah). Dan Allah سبحانه boleh memilih tentang apa yang hendak dia lakukan. Qiyaskanlah seumpama ini.
Apabila daku menulis tentang himpunan Ahwal Dharuriyyat yang penting ini, daku tidak sedar telah berlebihan dalam menuliskannya.
“Seseorang itu tidak tahu bahawa masa telah pergi meninggalkannya.”
*Telah siap diterjemahkan ke dalam bahasa melayu pada 20 Zulqa'dah 1445 bertepatan 28 May 2024 Masihi pukul 09:19 malam di Kampung Kadalakan, Jalan Banjar, Keningau 89008, Sabah, Malaysia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan