Isnin, 25 November 2024

Maktubat Imam Rabbani Surat 37 Jilid 1

Maktub surat yang ketiga puluh tujuh telah diterbitkan buat Syaikh Muhammad Al Jatri untuk mendorongnya untuk mengikuti sunnah yang tinggi darjatnya ke atas Shahib pemiliknya selawat, salam dan penghormatan. Juga, untuk memberi targhib dorongan pada menghasilkan Nisbat hubungan dengan para Masyaikh Naqshbandiyyah Al 'Aliyyah قدس سرهم

Sungguh telah terhasil kegembiraan dan keceriaan ketika membaca surat mulia yang telah datang dari hati yang murni itu. Dalam surat tersebut mengandungi penjelasan mengenai istiqamah ketetapan kamu dan tsabat keteguhan kamu atas mengikut jalan ini, iaitu Tariqat Naqshabandiyyah.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah سبحانه atas yang sedemikian itu. Semoga Allah سبحانه memuliakan kamu dengan mengurniakan taraqqiyat peningkatan yang tidak putus-putus melalui keberkatan sekalian Akabir pembesar Tariqat yang tinggi ini, yang mana Tariqat mereka itu umpama belerang merah yang terbina atas mengikuti sunnah yang tinggi darjatnya, semoga ke atas tempat terbitnya dilimpahkan selawat, salam dan penghormatan.

Faqir disini menuliskan kenyataan tersebut hanya kerana hendak menjimatkan waktunya. Kesimpulannya, segala 'ulum, ma'arif, ahwal dan maqamat sungguh telah dilimpahkan sejak berapa tempoh yang panjang seumpama hujan pada musim bunga. Setiap kali dia hendak melakukan satu pekerjaannya, maka sungguh telah dilakukan mengikut 'inayat bantuan dari Allah تعالى. 

Kini, tiada nilai yang kekal selain menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnah Mushtofawiyyah, semoga ke atas Shahib pemiliknya dilimpahkan selawat, salam dan penghormatan.

Manakala, ahwal yang terjadi itu hanyalah dapat dilihat oleh orang-orang yang memiliki zauq rasa. Maka seharusnya, hendaklah dihiaskan bathin itu dengan perantaraan Nisbat Khawajagan قدس الله أسرارهم . Manakala, apa yang zahir hendaklah dicantikkan dengan mengikuti keseluruhan sunnah-sunnah yang zahir.

Syair :

Inilah yang patut disibukkan, selain daripada ini hanyalah sekadar khayalat halusinasi

Sayugianya, hendaklah ditunaikan solat fardhu yang lima pada awal waktunya selain solat isya' pada waktu musim sejuk. Maka solat isya' pada waktu tersebut adalah mustahab ditunaikan pada satu pertiga malam. Faqir yang tiada sebarang keupayaan, pada perkara sebegini tidak ingin melambatkan perlaksanaan solat walaupun sehelai rambut dari awal waktunya. Sayangnya, kelemahan manusiawi itu tidak dapat dihindari.

Siap diterjemahkan pada 26 November 2024 bersamaan 24 Jamadil 'ula 1446 Hijriyyah. 

2:10 petang, Kampung Kota Ayangan, Keningau, Sabah, Malaysia.

Maktubat Imam Rabbani 69 Jilid 1

Surat keenam puluh sembilan dituliskan untuk Khan Khanan pada menerangkan bahawa dengan tawadhu rendah diri itu pasti akan mendapatkan ketin...